MAJLIS MENANDANTANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN (MOU) ANTARA PKB DAN WARIS CEKAL SDN BHD DAN VULF ASIA SDN BHD

MAJLIS MENANDANTANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN (MOU) ANTARA PKB DAN WARIS CEKAL SDN BHD DAN VULF ASIA SDN BHD

Alor Setar – 11 September 2025, Khamis: Permodalan Kedah Berhad (PKB) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Waris Cekal Sdn. Bhd. dan Vulf Asia Sdn. Bhd sebagai langkah strategik memperkukuh kerjasama dalam bidang pembangunan serta keselamatan digital di negeri Kedah.

Melalui MoU ini, kerjasama yang dijalinkan bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi, malah turut merangkumi inisiatif memperkukuh aspek siber sekuriti khususnya bagi sektor awam. Hal ini selaras dengan usaha kerajaan negeri untuk memastikan penjawat awam dilengkapi dengan kesedaran, ilmu serta kemahiran dalam menghadapi cabaran keselamatan maklumat di era digital.

Ancaman siber yang semakin kompleks boleh memberi kesan besar terhadap operasi kerajaan serta keyakinan rakyat sekiranya tidak ditangani dengan berkesan. Justeru, kerjasama strategik ini dijangka dapat menyediakan platform latihan, pembangunan kapasiti dan perkongsian teknologi bagi meningkatkan tahap keselamatan data serta melindungi sistem maklumat rasmi kerajaan negeri Kedah.

Dengan termeterainya MoU ini, PKB yakin ia akan menjadi titik tolak kepada usaha memperkukuh kesiapsiagaan digital penjawat awam sekaligus menyokong aspirasi Kedah ke arah sebuah negeri yang lebih berdaya saing, selamat dan progresif dalam menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0.

MAJLIS MENANDANTANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN (MOU) ANTARA PKB DAN 229 CAPITAL

MAJLIS MENANDANTANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN (MOU) ANTARA PKB DAN 229 CAPITAL

Kuala Lumpur – 10 September 2025, Rabu: Permodalan Kedah Berhad (PKB) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama 229 Capital L.P., sebuah syarikat dana berdaftar di Labuan yang mempunyai kepakaran dalam pasaran modal dan penasihatan transaksi kompleks.

Majlis yang berlangsung di The Vertical Business Suite, Bangsar South, Kuala Lumpur ini disaksikan oleh pengurusan tertinggi kedua-dua pihak. MoU ini bertujuan untuk membuka kerjasama strategik dalam bidang pelaburan serta menawarkan peluang baharu bagi pembangunan ekonomi negeri Kedah.

229 Capital mempunyai rekod cemerlang dalam mengurus dan menyusun penyenaraian awam awal (IPO) di pasaran antarabangsa termasuk Nasdaq dan New York Stock Exchange (NYSE). Melalui kerjasama ini, PKB akan memanfaatkan kepakaran 229 Capital dalam penyediaan strategi IPO, penyelarasan kawal selia, serta akses kepada rangkaian pelabur luar negara.

PKB pula, melalui hubungan dan rangkaian perniagaannya, akan mengenal pasti syarikat-syarikat berpotensi yang boleh dipersiapkan untuk penyenaraian di pasaran modal antarabangsa. Usaha ini dijangka mampu meningkatkan daya saing syarikat-syarikat tempatan, sekaligus memberi impak positif terhadap pembangunan ekonomi Kedah.

Dengan termeterainya MoU ini, PKB yakin kerjasama bersama 229 Capital akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak peluang strategik pada masa hadapan, khususnya dalam menghubungkan syarikat-syarikat tempatan ke pasaran modal global.

MERDEKA BRISK WALK 2025 SEMARAKKAN ALOR SETAR DENGAN SEMANGAT PATRIOTIK

MERDEKA BRISK WALK 2025 SEMARAKKAN ALOR SETAR DENGAN SEMANGAT PATRIOTIK

Alor Setar – 28 Ogos 2025, Khamis: Kelab Permodalan Kedah Berhad telah menganjurkan Merdeka Brisk Walk, sebuah program yang menyatukan gaya hidup sihat, semangat kemerdekaan dan kebersamaan. Bermula jam 8.30 pagi hingga 12.00 tengah hari di perkarangan PKNK, Alor Setar, para peserta melangkah bersama melalui mercu tanda ikonik bandar Alor Setar seperti Jejantas Pekan Rabu, Dataran Masjid Zahir dan Istana Kuning.

Selain beriadah untuk kecergasan, program ini turut menjadi ruang untuk mengeratkan silaturahim antara warga kelab, di samping menyemarakkan semangat patriotik dengan pengagihan Jalur Gemilang kepada orang awam di Medan Selera Kopitiam, Alor Setar.

Merdeka Brisk Walk bukan sekadar langkah riadah – ia adalah simbol kesihatan, perpaduan dan cinta terhadap tanah air.

KUNJUNGAN HORMAT DELEGASI PKB KE PEJABAT PEGAWAI DAERAH PADANG TERAP

KUNJUNGAN HORMAT DELEGASI PKB KE PEJABAT PEGAWAI DAERAH PADANG TERAP

Padang Terap – Isnin, 18 Ogos 2025: Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Kedah Berhad (PKB), Encik Mohd Azad bin Jasmi telah mengetuai satu delegasi PKB dalam kunjungan hormat ke Pejabat Pegawai Daerah Padang Terap. Turut hadir bersama dalam delegasi tersebut ialah Pengurus Pembangunan Perniagaan, Puan Muzzaini binti Abd. Rahman; Penolong Pengurus Operasi, Encik Mohd Hamiz bin Redzuan dan Eksekutif Projek, Encik Mohd Syazmi Aiman bin Abd. Razak.

Delegasi ini telah menyantuni Yang Berusaha Puan Hajjah Sharifah Norulasyikhah binti Syed Mohamad, AMK., BCK., Pegawai Daerah Padang Terap.

Kunjungan hormat ini menjadi wadah untuk mengeratkan hubungan silaturahim di samping membuka ruang perbincangan mengenai hala tuju kerjasama strategik yang berpotensi dilaksanakan secara bersama. Pertemuan ini turut memberi penekanan terhadap kepentingan membina jaringan komunikasi yang kukuh demi manfaat daerah Padang Terap serta menyokong aspirasi pembangunan negeri Kedah pada masa hadapan.

PKB menzahirkan penghargaan atas penerimaan baik daripada pihak Pejabat Pegawai Daerah Padang Terap dan berharap agar hubungan yang terjalin ini akan terus diperkukuh demi kesejahteraan masyarakat serta membawa manfaat berterusan kepada semua pihak.

MAJLIS MENANDATANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN (MOU) ANTARA PKB DAN KISMET

MAJLIS MENANDATANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN (MOU) ANTARA PKB DAN KISMET

Alor Setar – 14 Ogos 2025, Khamis: Satu Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Permodalan Kedah Berhad (PKB) dan KISMET Golden Estate Sdn. Bhd., sebuah syarikat pemaju yang berpengalaman dalam sektor perumahan, telah diadakan bagi meneroka peluang kolaborasi strategik dalam bidang pembangunan perumahan.

Majlis ini disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Encik Mohd Azad bin Jasmi, dan disaksikan oleh Pengurus Pembangunan Perniagaan, Puan Muzzaini binti Abd. Rahman dan Eksekutif Projek Cik Nor Shada binti Md. Dahlal, serta wakil utama dari pihak KISMET iaitu Encik Mohamad Najib bin Mohd Ali, Encik Muhamad Rani bin Nordin dan Encik Haidar Zolkarnain bin Mohd Daud.

MoU ini dilihat sebagai landasan kukuh dan titik tolak kepada kerjasama strategik yang memberi impak tinggi dalam menjana pembangunan perumahan yang inovatif, berkualiti dan mampan di Negeri Kedah. Melalui persefahaman ini, PKB dan KISMET komited untuk memacu kemajuan sektor perumahan dengan menyepadukan kepakaran masing-masing demi memberi manfaat luas kepada komuniti serta menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.

Dengan harapan tinggi, kerjasama ini dijangka dapat memperkukuh reputasi Negeri Kedah sebagai peneraju dalam pembangunan perumahan sekaligus meningkatkan daya saing sektor hartanah di peringkat negeri dan seterusnya ke peringkat yang lebih tinggi.

TUN M TEKANKAN KEBERANIAN MEMBUAT KEPUTUSAN: REFLEKSI BERSAMA PKB

TUN M TEKANKAN KEBERANIAN MEMBUAT KEPUTUSAN: REFLEKSI BERSAMA PKB

Putrajaya – 12  Ogos 2025, Selasa: Bagi pihak Permodalan Kedah Berhad (PKB), En. Azad Bin Jasmi sekali lagi berkesempatan bertemu dengan YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk membincangkan perkembangan projek serta bertukar pandangan mengenai strategi pembangunan. Dalam pertemuan tersebut, Tun turut berkongsi pengalaman lawatan kerjanya ke Jepun, termasuk teknologi kenderaan hidrogen yang hanya memerlukan tiga minit untuk dicas dengan jarak perjalanan sehingga 800 kilometer – satu gambaran jelas tentang kepesatan inovasi yang mampu mengubah landskap masa depan.

Namun, lebih daripada sekadar cerita teknologi, nasihat Tun tentang pembuatan keputusan menjadi inti pati yang paling memberi kesan. Menurut beliau, ramai yang mampu merancang dengan baik, tetapi sering teragak-agak untuk membuat keputusan kerana menunggu sehingga risiko hilang sepenuhnya. Hakikatnya, keputusan mesti dibuat berasaskan fakta, kajian serta justifikasi yang jelas, bukan sekadar intuisi semata-mata. Doa dan harapan itu penting, tetapi hanya akan bermakna jika disusuli dengan usaha strategik dan tindakan nyata.

Refleksi daripada perbualan ini menegaskan bahawa keberanian dalam membuat keputusan perlu hadir bersama kepantasan bertindak, keupayaan mengurus risiko, serta disiplin melaksanakan rancangan dengan konsisten. Prinsip ini selari dengan pendekatan pengurusan moden yang menekankan evidence-based management, scenario planning, serta penutupan jurang antara strategi dan pelaksanaan.

Bagi PKB, pandangan ini menjadi pengajaran berharga bahawa setiap langkah strategik menuntut keberanian membuat keputusan pada masa yang tepat. Dengan tindakan tersusun berpandukan data dan fakta, perancangan bukan sahaja mampu diterjemahkan kepada hasil, malah membawa manfaat besar kepada negeri serta rakyat.