KUNJUNGAN HORMAT PKB KE PAAB

KUNJUNGAN HORMAT PKB KE PAAB

Kuala Lumpur – 04 Ogos 2025, Isnin: Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Kedah Berhad (PKB), Encik Mohd Azad bin Jasmi bersama Puan Muzzaini binti Abd. Rahman Pengurus Pembangunan Perniagaan dan Penolong Pengurus Operasi, Encik Mohd Hamiz bin Redzuan telah mengadakan kunjungan hormat ke Ibu Pejabat Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) yang terletak di Menara Felda, Platinum Park, Kuala Lumpur.

Delegasi PKB telah disambut mesra oleh Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Ir. Zulkiflee Omar. Kunjungan ini menjadi platform penting untuk kedua-dua pihak memperkukuh hubungan strategik serta meneroka peluang kerjasama dalam pembangunan infrastruktur bekalan air di Negeri Kedah.

Usaha ini selari dengan peranan PKB sebagai anak syarikat di bawah Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI), dalam menyokong aspirasi Syarikat Air Darul Aman (SADA) untuk meningkatkan margin bekalan air negeri serta memperkukuh kelestarian kewangan sektor air di Kedah.

PKB komited untuk terus berganding bahu bersama rakan strategik seperti PAAB demi merealisasikan penyelesaian yang mampan dan berimpak tinggi kepada keperluan bekalan air rakyat negeri Kedah.

KUNJUNGAN HORMAT YEPA (M) SDN. BHD. KE PERMODALAN KEDAH BERHAD

KUNJUNGAN HORMAT YEPA (M) SDN. BHD. KE PERMODALAN KEDAH BERHAD

Alor Setar – 31 Julai 2025, Khamis: Permodalan Kedah Berhad (PKB) telah menerima kunjungan hormat daripada wakil YEPA (M) Sdn. Bhd. yang hadir dari China, bertempat di Ibu Pejabat PKB, Alor Setar.

Kunjungan ini bertujuan untuk menjalin hubungan awal serta meneroka potensi kerjasama strategik dalam sektor pembangunan dan pelaburan yang berimpak tinggi di negeri Kedah. Turut diadakan sesi perbincangan dua hala melibatkan pertukaran pandangan dan cadangan ke arah kolaborasi yang mampan.

PKB amat mengalu-alukan kedatangan rakan strategik antarabangsa seperti YEPA (M) Sdn. Bhd. dalam usaha memperkukuh jaringan kerjasama global demi menyokong agenda pembangunan ekonomi negeri secara holistik dan berdaya saing.

LAWATAN RASMI YAB MENTERI BESAR KEDAH KE PERMODALAN KEDAH BERHAD SEMPENA MESYUARAT AHLI LEMBAGA PENGARAH KALI KE-85 BIL 1/2025

LAWATAN RASMI YAB MENTERI BESAR KEDAH KE PERMODALAN KEDAH BERHAD SEMPENA MESYUARAT AHLI LEMBAGA PENGARAH KALI KE-85 BIL 1/2025

Alor Setar – 29 Julai 2025, Selasa: Permodalan Kedah Berhad (PKB) dengan penuh hormat dan penghargaan telah menerima kunjungan rasmi julung kali oleh YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah PKB, sempena Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah PKB Kali ke-85 Bil 1/2025 yang telah berlangsung di ibu pejabat PKB.

Lawatan kerja ini merupakan satu detik bersejarah buat warga kerja PKB, yang bukan sahaja berpeluang untuk berkongsi perkembangan semasa syarikat secara terus kepada YAB Menteri Besar, malah turut menerima amanat dan pandangan strategik daripada beliau dalam usaha memperkasa peranan PKB sebagai pemacu pembangunan ekonomi negeri Kedah.

Turut hadir dalam sesi ini ialah barisan Ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan tertinggi PKB. Mesyuarat kali ini menekankan hala tuju strategik syarikat bagi tahun 2025/2026 termasuk tumpuan kepada projek-projek berimpak tinggi, inisiatif digitalisasi serta pengukuhan keupayaan anak-anak syarikat.

Lawatan diakhiri dengan sesi bergambar bersama warga kerja dan lawatan ringkas ke sekitar ruang operasi pejabat PKB. Semangat kolaborasi dan aspirasi yang tinggi daripada pimpinan tertinggi negeri menjadi suntikan semangat baharu buat seluruh pasukan PKB untuk terus melangkah maju, seiring visi negeri Kedah sebagai negeri berdaya maju dan berdaya saing.

KUNJUNGAN HORMAT YM RAJA DATO’ AZWANE BIN RAJA ARIFF KE PKB

KUNJUNGAN HORMAT YM RAJA DATO’ AZWANE BIN RAJA ARIFF KE PKB

Alor Setar – 2 Julai 2025, Rabu: Permodalan Kedah Berhad (PKB) telah menerima kunjungan hormat daripada YM Raja Dato’ Azwane bin Raja Ariff ke atas Ketua Pegawai Eksekutif PKB di ibu pejabat PKB, Alor Setar.

Kunjungan ini merupakan platform strategik untuk memperkukuh jaringan hubungan serta membincangkan potensi kerjasama yang boleh dimanfaatkan antara kedua-dua pihak. Dalam sesi penuh mesra dan berinformasi ini, pelbagai pandangan serta idea bernas telah dikongsi bagi memperkasakan pembangunan ekonomi negeri Kedah, sejajar dengan aspirasi pembangunan mampan yang digariskan oleh PKB.

PKB merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YM Raja Dato’ Azwane di atas kesudian mengadakan lawatan ini. Semoga pertemuan ini membuka ruang kepada inisiatif bersama yang lebih konstruktif dan memberi impak positif kepada rakyat dan negeri Kedah secara keseluruhan.

 

MENERAJUI MASA DEPAN MOBILITI HIJAU: PELANCARAN MOTOSIKAL ELEKTRIK (EV) MERIAHKAN SALOMA BISTRO KUALA LUMPUR

MENERAJUI MASA DEPAN MOBILITI HIJAU: PELANCARAN MOTOSIKAL ELEKTRIK (EV) MERIAHKAN SALOMA BISTRO KUALA LUMPUR

Kuala Lumpur – 28 Jun 2025, Sabtu: Saloma Bistro menjadi saksi kepada detik bersejarah apabila pelancaran rasmi motosikal elektrik (EV) terbaharu telah berlangsung dengan penuh gemilang, sekali gus menandakan satu lagi langkah proaktif dalam agenda mobiliti hijau negara. Acara ini dianjurkan dengan sokongan padu daripada GGR, yang terus komited menerajui transformasi ke arah teknologi mesra alam dan mampan.

Lebih daripada sekadar pelancaran produk, majlis ini turut menjadi platform pertemuan strategik antara pemegang taruh industri, usahawan tempatan serta pencetus inovasi dalam sektor tenaga bersih. Rekaan futuristik dan keupayaan teknologi tinggi motosikal elektrik ini mendapat sambutan hangat, menandakan permulaan kepada era pengangkutan yang lebih lestari dan efisien.

Majlis turut diserikan dengan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Permodalan Kedah Berhad (PKB) dan Perniagaan Mazlan dan Hashimah (PMH), sebagai simbolik kepada jalinan kerjasama strategik dalam memperluas inisiatif mobiliti elektrik di peringkat negeri. Usaha ini dijangka mampu membuka lebih banyak peluang pembangunan perniagaan hijau di utara tanah air serta menyokong aspirasi Malaysia untuk mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2050.

Kerjasama erat antara GGR, PKB dan Perniagaan Mazlan dan Hashimah menggambarkan kesungguhan semua pihak dalam membina masa depan mobiliti yang lebih bersih, pintar dan mampan. Dengan sinergi yang kukuh, masa depan yang lebih hijau kini semakin hampir direalisasikan.