MAJLIS MENANDATANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN (MOU) ANTARA PKB DAN CIC ENVIRONMENTAL SERVICES SDN BHD.

MAJLIS MENANDATANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN (MOU) ANTARA PKB DAN CIC ENVIRONMENTAL SERVICES SDN BHD.

Alor Setar – 14 Mei 2025, Rabu: Permodalan Kedah Berhad (PKB) dan CIC Environmental Services Sdn Bhd telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama antara kedua belah pihak.

MoU tersebut dimeterai oleh Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Encik Mohd Azad Bin Jasmi dan Encik Rezarul bin Redzuan mewakili CIC Environmental Services dalam satu sesi rasmi yang berlangsung di bilik mesyuarat PKB.

MoU ini menjadi titik permulaan kepada hubungan strategik antara PKB dan CIC Environmental Services Sdn Bhd dalam memperkasa kepakaran serta teknologi pengurusan sisa dan pematuhan alam sekitar, khususnya dalam menyokong pembangunan sektor kesihatan yang lebih sihat dan kemas.

Semoga kerjasama ini terus berkembang dan memberi impak positif kepada sektor kesihatan di rantau ini melalui gabungan kepakaran kedua-dua pihak.

LAWATAN TAPAK OLEH PKB DEVELOPMENT KE PENANG PORT SDN BHD

LAWATAN TAPAK OLEH PKB DEVELOPMENT KE PENANG PORT SDN BHD

Pulau Pinang – 11 Mei 2025, Ahad: Delegasi Permodalan Kedah Berhad (PKB) telah mengadakan lawatan tapak rasmi ke Penang Port Sdn. Bhd. sempena persiapan bagi eksport pertama pasir silika dari Lot 1086, Mukim Terap ke Taiwan.

Lawatan ini diketuai oleh Encik Badrudi bin Haji Hamid, Pengurus Pentadbiran dan Kewangan mewakili PKB,  bersama Encik Mohd Saifuddin bin Hassan Pengerusi PKB Development Sdn bhd dan juga kakitangan iaitu Ts. Muhammad Nazmi bin Azizan, Puan Norsyazwani binti Mustaffa serta Encik Raimy Izwan bin Muhamad Rozali. Lawatan ini juga dihadiri oleh pihak operator kuari Dinasti Amwan Sdn Bhd.

Tujuan utama lawatan ini adalah untuk meninjau proses penghantaran silika (eksport) ke Taiwan kali pertama.

Semoga inisiatif ini membuka lembaran baharu dalam pembangunan ekonomi negeri Kedah, khususnya dalam memperluas pasaran eksport dan memperkukuh rantaian bekalan industri mineral tempatan.

KUNJUNGAN HORMAT DELEGASI PKB KE PEJABAT TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD, PENASIHAT SG4

KUNJUNGAN HORMAT DELEGASI PKB KE PEJABAT TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD, PENASIHAT SG4

Kuala Lumpur – 07 Mei 2025, Rabu: Satu kunjungan hormat penuh makna telah dilakukan oleh delegasi Permodalan Kedah Berhad (PKB) diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Encik Mohd Azad bin Jasmi bersama Pengurus Pembangunan Perniagaan Puan Muzzaini binti Abd. Rahman dan Penolong Pengurus Operasi Encik Mohd Hamiz bin Redzuan ke pejabat YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad, Penasihat Kumpulan Kerjasama Serantau 4 Negeri (SG4), di Putrajaya.

Kunjungan ini bertujuan untuk memperkenalkan peranan dan inisiatif semasa PKB dalam pembangunan ekonomi negeri Kedah serta meneroka ruang kerjasama yang selari dengan aspirasi SG4 dalam memperkasa pembangunan serantau secara holistik dan mampan.

Pertemuan tersebut turut memberi peluang kepada pihak PKB untuk mendapatkan pandangan dan nasihat strategik daripada YABhg. Tun dalam merangka hala tuju pelaburan dan pembangunan masa hadapan, khususnya dalam konteks memperkukuh daya saing Kedah sebagai hab ekonomi dan pelaburan utama di utara Semenanjung Malaysia.

PKB amat menghargai kesudian YABhg. Tun menerima kunjungan ini dan berharap agar hubungan yang terjalin dapat diteruskan dalam usaha memacu kemajuan negeri secara inklusif dan berimpak tinggi.

MENELUSURI FALSAFAH KEPIMPINAN TUN M: 5 ELEMEN MEMBINA BANGSA & MASA DEPAN

MENELUSURI FALSAFAH KEPIMPINAN TUN M: 5 ELEMEN MEMBINA BANGSA & MASA DEPAN

Putrajaya – 7 Mei 2025, Rabu: Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Kedah Berhad (PKB), En. Azad Bin Jasmi, sekali lagi diberi peluang bertemu dengan YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam sebuah sesi penuh makna. Pertemuan ini bukan sekadar membincangkan isu-isu strategik berkaitan pembangunan negeri, malah menjadi ruang istimewa untuk menyelami falsafah kepimpinan dan pandangan seorang negarawan ulung negara.

Daripada sesi tersebut, lahir lima elemen utama yang wajar dijadikan pedoman dalam kepimpinan, perancangan, dan pelaksanaan pembangunan – bukan sahaja untuk organisasi, bahkan dalam membina bangsa dan negara:

1. Perincian Idea dan Perancangan
Setiap inisiatif mesti berakar daripada visi yang jelas serta pelan tindakan yang terperinci. Roadmap yang terancang dengan penanda aras (milestones) akan memastikan pelaksanaan lebih sistematik, konsisten, dan berkesan.

2. Keputusan Berasaskan Data
Tun menegaskan bahawa setiap keputusan perlu dipandu oleh data sebenar, indikator ekonomi, serta analisis pasaran. Pendekatan berasaskan bukti (empirical data) menjadikan dasar dan tindakan lebih tepat, relevan, dan berimpak tinggi.

3. Menilai Kapasiti dan Potensi
Keberanian keluar dari zon selesa adalah kunci pertumbuhan. Sama ada individu mahupun organisasi, potensi sebenar hanya dapat digilap melalui penilaian kapasiti, reformasi berterusan, serta pemikiran progresif yang mendorong perubahan.

4. Pembelajaran Sepanjang Hayat
Ilmu adalah asas kepimpinan berkesan. Pemimpin perlu sentiasa membaca, menimba pengetahuan, dan menyesuaikan diri dengan perubahan zaman. Sikap dahagakan ilmu inilah yang menjamin kelangsungan relevansi dalam kepimpinan.

5. Kepimpinan Melalui Penemuan Potensi
Kepimpinan bukan sekadar mengurus, tetapi mengenal pasti peluang tersembunyi. Budaya inovasi, pemikiran strategik, dan keupayaan mencari penyelesaian kreatif akan memastikan pembangunan yang mampan dan inklusif.

Refleksi ini membuktikan bahawa kepimpinan sejati tidak hanya berlandaskan strategi semasa, tetapi berpaksikan nilai, ilmu, dan keberanian untuk meneroka potensi. PKB menzahirkan iltizam untuk terus mengangkat prinsip-prinsip ini sebagai panduan dalam membina landasan pembangunan negeri Kedah yang inklusif, berdaya saing, dan berdaya tahan.

LAWATAN TAPAK OLEH PKB KE RIGHT5PACE LOGISTIC SDN BHD

LAWATAN TAPAK OLEH PKB KE RIGHT5PACE LOGISTIC SDN BHD

Selangor – 23 April 2025, Rabu: Delegasi Permodalan Kedah Berhad (PKB) yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Encik Mohd Azad bin Jasmi, bersama Pengurus Pembangunan Perniagaan Puan Muzzaini binti Abd Rahman dan Penolong Pengurus Operasi Encik Hamiz bin Redzuan telah mengadakan lawatan rasmi ke kilang Right5pace Logistics Sdn Bhd, sebuah syarikat logistik yang berkembang pesat sejak penubuhannya pada tahun 2023.

Right5pace Logistics Sdn Bhd, berpusat di Klang, Selangor, menawarkan penyelesaian logistik menyeluruh termasuk perkhidmatan pihak ketiga (3PL) seperti penyimpanan, pengurusan inventori, penghantaran, penerimaan, pengambilan dan pembungkusan, serta pengurusan logistik terbalik (pemulangan) . Dengan penggunaan sistem pengurusan gudang (WMS) terkini, syarikat ini memastikan operasi yang efisien dan tepat, memenuhi keperluan pelanggan dari pelbagai industri.

Sepanjang lawatan, delegasi PKB telah dibawa dan berpeluang meninjau operasi logistik berteknologi tinggi secara langsung, mendalami proses pengurusan rantaian bekalan (supply chain) dan berkongsi pandangan dan idea untuk pembangunan sektor industri di Kedah kelak.

Moga dengan kunjungan tapak ke kilang Right5pace diharap dapat membuka ruang inovasi dan memperkasakan ekosistem logistik negeri kelak.

MAJLIS MENANDATANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN (MOU) ANTARA PKB DAN PPIM

MAJLIS MENANDATANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN (MOU) ANTARA PKB DAN PPIM

Kuala Lumpur – 23 April 2025, Rabu: Permodalan Kedah Berhad (PKB) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dalam satu majlis rasmi yang berlangsung dalam suasana penuh semangat dan kesepakatan sebentar tadi.

Majlis ini menandakan permulaan kerjasama strategik antara dua entiti berpengaruh — satu mewakili sektor korporat, dan satu lagi suara pengguna yang aktif memperjuangkan hak rakyat. Usaha ini merupakan satu langkah proaktif dalam membina sinergi yang mampan dan holistik ke arah memperkukuh ekosistem pengguna dan ekonomi tempatan.

Melalui pemeteraian ini, kedua-dua pihak komited untuk bekerjasama dalam pelbagai bidang termasuk ; Pembangunan usahawan dan perusahaan mikro, pendidikan serta kesedaran pengguna, sokongan terhadap produk dan jenama tempatan dan pelaksanaan inisiatif berimpak tinggi yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat

PPIM turut menegaskan kepentingan sokongan masyarakat terhadap produk tempatan, menyeru agar pengguna memainkan peranan aktif dalam membantu menjana pertumbuhan ekonomi negara melalui pembelian barangan buatan Malaysia. Ini sejajar dengan aspirasi PKB dalam mengangkat potensi ekonomi rakyat Kedah dan seluruh negara.

PKB dan PPIM percaya bahawa kerjasama ini bukan sahaja akan memperluas jaringan kolaborasi, tetapi juga membuka lembaran baharu dalam usaha memperjuangkan kepentingan pengguna secara lebih menyeluruh, inklusif dan berteraskan prinsip kemaslahatan bersama.

Semoga inisiatif ini menjadi titik tolak kepada lebih banyak usaha strategik yang akan terus memperkasakan masyarakat dan ekonomi negara. Kami di PKB yakin bahawa melalui kolaborasi seumpama ini, agenda pembangunan rakyat dapat dipacu dengan lebih berkesan dan berdaya tahan.