PKB METERAI KERJASAMA STRATEGIK DIGITAL RENTAS SEMPADAN MALAYSIA-CHINA

PKB METERAI KERJASAMA STRATEGIK DIGITAL RENTAS SEMPADAN MALAYSIA-CHINA

Beijing – 14 April 2025, Isnin: Permodalan Kedah Berhad (PKB) telah memeterai kerjasama strategik tiga pihak bersama Systech Bhd dan Beijing Daxing International Business Service Co. Ltd, dalam usaha memperkukuh pembangunan infrastruktur pintar dan integrasi digital rentas sempadan yang dipacu Kecerdasan Buatan (AI) antara Malaysia dan China.

Perjanjian yang dimeterai di Beijing ini menyatukan inovasi sektor swasta serta inisiatif yang diterajui kerajaan, dengan matlamat untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi digital serantau, mempertingkatkan pertukaran perniagaan dua hala, menarik pelaburan asing ke Asia Tenggara.

Pengarah Urusan Systech, Datuk Derrick Hooi, menyatakan bahawa kerjasama ini membuka laluan baharu dalam pembangunan AI, infrastruktur pintar dan inovasi digital dua hala. “Gabungan kepakaran digital dan AI Systech, sokongan Beijing Innovation Hub serta peranan strategik PKB bakal mencipta ekosistem digital yang mampan dan berimpak tinggi antara dua negara.”

Sebagai agensi pembangunan ekonomi negeri Kedah, PKB memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan infrastruktur, termasuk mengenal pasti lokasi tanah strategik seperti Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) dan projek Aerotropolis Kedah. Projek ini akan dipacu dengan insentif kerajaan yang kompetitif, menjadikan Kedah sebagai destinasi pilihan pelabur digital antarabangsa.

Pihak Beijing Daxing, yang menerajui Hab Inovasi Beijing bagi Perusahaan Ekonomi Digital “Going Global” di bawah Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China, melihat Malaysia sebagai rakan teknologi yang stabil dan progresif. Mereka turut menekankan bahawa kerjasama ini akan menjadi platform utama untuk perusahaan digital China meneroka dan berkembang di pasaran Asia Tenggara.

Inisiatif ini dijangka akan merangsang pertumbuhan ekonomi jangka panjang di Kedah, selari dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi hab ekonomi digital terulung di rantau ini.

GEMILANG AIDILFITRI DI SERI MENTALOON! MAJLIS RUMAH TERBUKA AIDILFITRI MENTERI BESAR KEDAH 2025

GEMILANG AIDILFITRI DI SERI MENTALOON! MAJLIS RUMAH TERBUKA AIDILFITRI MENTERI BESAR KEDAH 2025

Alor Setar – 06 April 2025, Ahad: Seri Mentaloon bergema dengan kemeriahan, penuh warna-warni tradisi dan ukhuwah, apabila YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi bin Md Nor, Menteri Besar Kedah, menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2025 yang gilang-gemilang di kediaman rasmi beliau di Alor Setar.

Turut menyerikan majlis, Encik Azad bin Jasmi bersama seluruh warga kerja Permodalan Kedah Berhad, hadir membawa semangat kekeluargaan dan silaturahim yang erat, bersama ribuan tetamu dari segenap lapisan masyarakat.

Majlis yang bermula seawal jam 5.00 petang sehingga 11.00 malam itu menyaksikan kehadiran lebih 15,000 orang tetamu, merangkumi wakil-wakil jabatan kerajaan negeri dan persekutuan, agensi-agensi berkaitan, serta rakyat jelata yang hadir dengan penuh rasa syukur dan kegembiraan menyambut Syawal.

Antara tarikan utama pastinya deretan juadah yang menggiurkan! Tetamu disajikan dengan pelbagai hidangan istimewa seperti nasi minyak, ketupat rendang, kambing golek, sate, kuetiau goreng, bihun sup, apom lenggang, ais krim dan aneka minuman yang menceriakan suasana penuh mesra dan muhibah.

Majlis ini bukan sekadar sebuah perayaan, tetapi simbol perpaduan, kasih sayang dan kesejahteraan yang sentiasa mekar di bumi Kedah. Semoga sambutan Aidilfitri ini menjadi pemangkin kepada keberkatan dan kemakmuran negeri serta rakyatnya, Insya-Allah.

WARGA PKNK RAIKAN AIDILFITRI BERSAMA PKB : PENYERAHAN GOODIES RAYA & LAWATAN MESRA KE PEJABAT BAHARU PKB

WARGA PKNK RAIKAN AIDILFITRI BERSAMA PKB : PENYERAHAN GOODIES RAYA & LAWATAN MESRA KE PEJABAT BAHARU PKB

Alor Setar – 24 Mac 2025, Isnin: Permodalan Kedah Berhad (PKB) berbesar hati menerima kunjungan istimewa daripada warga Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) sempena penyerahan Goodies Raya menjelang sambutan Aidilfitri yang bakal tiba.

Kunjungan ini bukan sahaja mengeratkan silaturrahim antara kedua-dua agensi, malah mencerminkan semangat ukhuwah dan kebersamaan dalam menyambut bulan penuh keberkatan. Turut diadakan sesi lawatan ringkas ke sekitar Pejabat PKB, yang memberi peluang untuk bertukar pandangan serta mengukuhkan lagi jaringan kerjasama sedia ada.

Terima kasih diucapkan kepada warga PKNK atas kunjungan mesra ini. Semoga hubungan strategik antara PKNK dan PKB terus utuh dan diberkati, insya-Allah.

KUNJUNGAN HORMAT DELEGASI PKB KE SETIAUSAHA BAHAGIAN PERUMAHAN YANG BERBAHAGIA PUAN NOORULHUDA BINTI MOHAMMED ALI, AMK., BCK.

KUNJUNGAN HORMAT DELEGASI PKB KE SETIAUSAHA BAHAGIAN PERUMAHAN YANG BERBAHAGIA PUAN NOORULHUDA BINTI MOHAMMED ALI, AMK., BCK.

Alor Setar – 24 Mac 2025, Isnin: Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Kedah Berhad, Encik Mohd Azad bin Jasmi hari ini telah melakukan satu kunjungan hormat bersama Pengurus Pembangunan Perniagaan Puan Muzzaini binti Abd. Rahman dan Penolong Pengurus Operasi Encik Mohd Hamiz bin Redzuan ke Bilik Mesyuarat Unit Hasil Bahagian Perumahan, Aras 1, Blok B, Wisma Darul Aman.

Kunjungan hormat ini telah diisi dengan sesi suai kenal antara kedua-dua entiti, di samping perbincangan mengenai hala tuju kerjasama yang boleh diterokai bersama. Pertemuan ini turut membuka ruang kepada pembentukan jaringan komunikasi yang strategik demi kepentingan bandar raya Alor Setar serta menyokong agenda pembangunan negeri Kedah pada masa hadapan.

Semoga kunjungan ini dapat memperkukuh dan mengekalkan hubungan baik antara dua pihak untuk jangka masa yang panjang serta membawa manfaat yang berterusan kepada semua pihak.

KUNJUNGAN HORMAT KPE PKB, EN. AZAD BIN JASMI KE ATAS TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD, PENASIHAT SG4

KUNJUNGAN HORMAT KPE PKB, EN. AZAD BIN JASMI KE ATAS TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD, PENASIHAT SG4

Putrajaya – 23 Mac 2025,  Ahad: Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Kedah Berhad (PKB), En. Azad Bin Jasmi, baru-baru ini telah mengadakan kunjungan hormat kepada Penasihat SG4, YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad, bagi membincangkan pelan tindakan berimpak tinggi dalam memperkasa daya saing serta pembangunan holistik Negeri Kedah.

Dalam sesi pertemuan yang penuh makna ini, pelbagai inisiatif strategik telah dibincangkan, terutamanya melibatkan usaha menarik pelabur luar negara untuk melabur di sektor-sektor berpotensi tinggi di negeri Kedah. YABhg. Tun Dr. Mahathir memainkan peranan penting sebagai penghubung kepada pelabur antarabangsa yang berhasrat meneroka peluang pelaburan di negeri ini.

Perbincangan turut memberi fokus kepada potensi pelaburan dalam bidang pelancongan, hospitaliti, teknologi, dan pembangunan hartanah, khususnya di kawasan strategik seperti Langkawi serta wilayah-wilayah pembangunan baharu di Kedah. Langkah ini dijangka mampu membuka lebih banyak peluang ekonomi, menjana pekerjaan, serta mengukuhkan kedudukan Kedah sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif di rantau ini.

Selain itu, pertemuan strategik ini juga menekankan keperluan perancangan jangka panjang yang mampan, termasuk pembangunan modal insan sebagai pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi berasaskan pengetahuan, inovasi dan teknologi.

PKB menegaskan komitmen padu untuk merancakkan ekonomi negeri melalui pendekatan yang inklusif, progresif dan lestari — selaras dengan aspirasi untuk menjadikan Kedah sebagai hab pelaburan serantau yang berdaya saing dan berdaya tahan dalam landskap ekonomi global yang kian mencabar.

PKB DAN BRUNET GLOBAL MENTERAI MOU PERKASA INDUSTRI INSULIN HALAL

PKB DAN BRUNET GLOBAL MENTERAI MOU PERKASA INDUSTRI INSULIN HALAL

Brunei – 14 Mac 2025,  Jumaat: Permodalan Kedah Berhad (PKB) dan BruNet Global Sdn Bhd telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama dalam pembangunan industri insulin Halal. Majlis ini disaksikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia yang Dilantik, TYT Datuk Mohd Aini Atan.

MoU tersebut dimeterai oleh Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Encik Mohd Azad Bin Jasmi, dan Pengarah BruNet Global Sdn Bhd, Dr Muhammad Shukri Said, dalam satu sesi rasmi yang berlangsung di pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia.

Dalam ucapannya, TYT Datuk Mohd Aini menzahirkan sokongan penuh Suruhanjaya Tinggi Malaysia terhadap kerjasama perniagaan-ke-perniagaan antara Malaysia dan Brunei Darussalam dalam industri Halal. Beliau turut menekankan bahawa inisiatif ini selaras dengan peranan Malaysia sebagai peneraju utama dalam diplomasi Halal di peringkat antarabangsa.

Beliau juga yakin bahawa kerjasama antara PKB dan BruNet Global bukan sahaja akan membawa manfaat ekonomi kepada kedua-dua negara, malah turut merangsang pertumbuhan ekonomi dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan bagi masyarakat setempat.

MoU ini menjadi titik permulaan kepada hubungan strategik antara PKB dan BruNet Global dalam memperkasa kepakaran industri insulin Halal. Selain itu, ia juga dijangka menyumbang kepada pembangunan infrastruktur kesihatan serta mempercepatkan pelaksanaan projek-projek berkualiti tinggi yang mampan dan inovatif, khususnya di negeri Kedah.

Semoga kerjasama ini terus berkembang dan memberi impak positif kepada sektor kesihatan serta industri Halal di rantau ini.