KUNJUNGAN HORMAT NANO MALAYSIA BERHAD KE PERMODALAN KEDAH BERHAD

KUNJUNGAN HORMAT NANO MALAYSIA BERHAD KE PERMODALAN KEDAH BERHAD

Alor Setar – 29 September 2025, Isnin: Bertempat di Bilik Mesyuarat Permodalan Kedah Berhad (PKB), Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKB, Encik Mohd Azad bin Jasmi bersama Puan Muzzaini binti Abd. Rahman, Pengurus Pembangunan Perniagaan, serta Penolong Pengurus Operasi, Encik Mohd Hamiz bin Redzuan dan Eksekutif Projek Encik Muhammad Syazmi Aiman bin Abd Razak telah menerima kunjungan hormat daripada Nano Malaysia Berhad.

Delegasi Nano Malaysia Berhad telah disambut mesra oleh pihak PKB. Kunjungan ini menjadi platform penting bagi kedua-dua pihak untuk memperkukuh hubungan strategik serta meneroka peluang kerjasama dalam pembangunan teknologi nano dan inovasi berimpak tinggi di Negeri Kedah.

Usaha ini selari dengan peranan PKB sebagai anak syarikat di bawah Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI) dalam menyokong aspirasi negeri untuk memperkukuh ekosistem teknologi dan inovasi serta menarik pelaburan bernilai tambah tinggi ke Kedah.

PKB komited untuk terus berganding bahu bersama rakan strategik seperti Nano Malaysia Berhad bagi merealisasikan penyelesaian inovatif dan mampan yang dapat memberi manfaat kepada rakyat serta pembangunan ekonomi Negeri Kedah.

REFLEKSI KEPIMPINAN BERSAMA TUN M: PRINSIP PEMBANGUNAN BERASASKAN NILAI

REFLEKSI KEPIMPINAN BERSAMA TUN M: PRINSIP PEMBANGUNAN BERASASKAN NILAI

Putrajaya – 18 Jun 2025, Rabu: Bagi pihak Permodalan Kedah Berhad (PKB), En. Azad Bin Jasmi berkesempatan bertemu dengan YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam sebuah sesi yang membuka ruang perbincangan strategik mengenai pembangunan negeri Kedah serta negeri-negeri dalam kelompok SG4. Antara perkara yang disentuh termasuklah dasar ekonomi negeri, potensi pembangunan wilayah, dan peranan kerajaan negeri dalam membentuk landskap ekonomi serta sosial yang lebih mampan.

Namun, nilai sebenar daripada pertemuan ini terletak pada dimensi yang lebih mendalam – perbualan tentang falsafah dan prinsip kepimpinan. Tun menekankan bahawa pembangunan tidak boleh sekadar mengejar angka, sebaliknya mesti berpaksikan nilai dan keperluan sebenar rakyat. Projek perlu lahir daripada penyelesaian masalah, identiti negara mesti tercermin dalam pembangunan, dan kejayaan hanya boleh dicapai dengan kerjasama pelbagai pihak. Yang paling utama, rakyat di akar umbi tidak boleh diketepikan dalam naratif pembangunan moden.

Refleksi ini memberi inspirasi kepada PKB untuk terus menjadikan prinsip kepimpinan berasaskan nilai sebagai panduan. PKB komited untuk menterjemahkan setiap strategi kepada tindakan yang nyata, agar manfaat pembangunan bukan sahaja dilihat pada pertumbuhan ekonomi negeri, tetapi turut dirasai oleh seluruh rakyat Kedah secara menyeluruh.

REFLEKSI BERSAMA TUN DR. MAHATHIR : UNLOCKING ASSET & GROWTH CENTRE

REFLEKSI BERSAMA TUN DR. MAHATHIR : UNLOCKING ASSET & GROWTH CENTRE

Putrajaya – 19 September 2025, Jumaat: Bagi pihak Permodalan Kedah Berhad, En. Azad Bin Jasmi berkesempatan bertemu dan berdiskusi bersama YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam satu sesi ilmu yang penuh inspirasi. Pertemuan ini membuka ruang untuk memahami dengan lebih mendalam bagaimana konsep Unlocking Asset dan Growth Centre mampu menjadi teras pembangunan negara. Tun menekankan bahawa aset bukan hanya dilihat pada bentuk fizikalnya, tetapi pada potensi strategik yang mampu dihidupkan. Daripada tanah pertanian, lokasi geografi hingga kepada tenaga kerja, semuanya boleh menjadi pemangkin pertumbuhan sekiranya digarap dengan pandangan jauh.

Tun turut berkongsi pengalaman bagaimana kawasan seperti Langkawi, Putrajaya, Bukit Kayu Hitam dan Sintok diangkat daripada lokasi biasa menjadi pusat strategik yang memberi impak besar kepada ekonomi, pendidikan, dan identiti negara. Menurut beliau, pembangunan tidak akan bermakna tanpa rangkaian connectivity yang baik—jalan raya, pelabuhan, lapangan terbang, dan mobiliti adalah nadi yang menghubungkan ekonomi serta memperkukuh perpaduan negara. Dalam perbualan itu juga, Tun menekankan kepentingan modal insan sebagai aset utama, di mana tenaga kerja yang berdisiplin, berilmu, dan produktif adalah penentu sebenar kepada kejayaan pembangunan.

Pendekatan Tun yang pragmatik dalam geopolitik serta sikap rendah hati sebagai seorang negarawan turut menjadi pengajaran berharga. Pesan beliau, membina negara bukan sekadar projek pembangunan fizikal, tetapi seni melihat potensi pada setiap aset—tanah, manusia, lokasi, dan peluang—untuk dimanfaatkan secara berstrategi. Refleksi daripada pertemuan ini menjadi inspirasi kepada PKB dalam usaha menggembleng aset negeri dan membina pusat pertumbuhan yang mampu membawa manfaat jangka panjang kepada masyarakat dan negeri Kedah Darul Aman.

MAJLIS MENANDANTANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN (MOU) ANTARA PKB DAN WARIS CEKAL SDN BHD DAN VULF ASIA SDN BHD

MAJLIS MENANDANTANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN (MOU) ANTARA PKB DAN WARIS CEKAL SDN BHD DAN VULF ASIA SDN BHD

Alor Setar – 11 September 2025, Khamis: Permodalan Kedah Berhad (PKB) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Waris Cekal Sdn. Bhd. dan Vulf Asia Sdn. Bhd sebagai langkah strategik memperkukuh kerjasama dalam bidang pembangunan serta keselamatan digital di negeri Kedah.

Melalui MoU ini, kerjasama yang dijalinkan bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi, malah turut merangkumi inisiatif memperkukuh aspek siber sekuriti khususnya bagi sektor awam. Hal ini selaras dengan usaha kerajaan negeri untuk memastikan penjawat awam dilengkapi dengan kesedaran, ilmu serta kemahiran dalam menghadapi cabaran keselamatan maklumat di era digital.

Ancaman siber yang semakin kompleks boleh memberi kesan besar terhadap operasi kerajaan serta keyakinan rakyat sekiranya tidak ditangani dengan berkesan. Justeru, kerjasama strategik ini dijangka dapat menyediakan platform latihan, pembangunan kapasiti dan perkongsian teknologi bagi meningkatkan tahap keselamatan data serta melindungi sistem maklumat rasmi kerajaan negeri Kedah.

Dengan termeterainya MoU ini, PKB yakin ia akan menjadi titik tolak kepada usaha memperkukuh kesiapsiagaan digital penjawat awam sekaligus menyokong aspirasi Kedah ke arah sebuah negeri yang lebih berdaya saing, selamat dan progresif dalam menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0.

MAJLIS MENANDANTANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN (MOU) ANTARA PKB DAN 229 CAPITAL

MAJLIS MENANDANTANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN (MOU) ANTARA PKB DAN 229 CAPITAL

Kuala Lumpur – 10 September 2025, Rabu: Permodalan Kedah Berhad (PKB) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama 229 Capital L.P., sebuah syarikat dana berdaftar di Labuan yang mempunyai kepakaran dalam pasaran modal dan penasihatan transaksi kompleks.

Majlis yang berlangsung di The Vertical Business Suite, Bangsar South, Kuala Lumpur ini disaksikan oleh pengurusan tertinggi kedua-dua pihak. MoU ini bertujuan untuk membuka kerjasama strategik dalam bidang pelaburan serta menawarkan peluang baharu bagi pembangunan ekonomi negeri Kedah.

229 Capital mempunyai rekod cemerlang dalam mengurus dan menyusun penyenaraian awam awal (IPO) di pasaran antarabangsa termasuk Nasdaq dan New York Stock Exchange (NYSE). Melalui kerjasama ini, PKB akan memanfaatkan kepakaran 229 Capital dalam penyediaan strategi IPO, penyelarasan kawal selia, serta akses kepada rangkaian pelabur luar negara.

PKB pula, melalui hubungan dan rangkaian perniagaannya, akan mengenal pasti syarikat-syarikat berpotensi yang boleh dipersiapkan untuk penyenaraian di pasaran modal antarabangsa. Usaha ini dijangka mampu meningkatkan daya saing syarikat-syarikat tempatan, sekaligus memberi impak positif terhadap pembangunan ekonomi Kedah.

Dengan termeterainya MoU ini, PKB yakin kerjasama bersama 229 Capital akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak peluang strategik pada masa hadapan, khususnya dalam menghubungkan syarikat-syarikat tempatan ke pasaran modal global.